Monday, October 26, 2009

Hukum tinggalkan solat Jumaat

Solat Jumaat adalah fardu ain, wajib ditunaikan oleh setiap yang mukalaf, melainkan orang yang uzur syarie seperti sakit, musafir, hujan lebat sehingga terputus jalan dan sebagainya.

Namun meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa besar, kerana meninggalkan kefarduan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran, seperti firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli. (al-Jumuah: 9).

Daripada malik bin Safwan berkata telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumuah tiga tanpa sebarang keuzuran dan tanpa sebarang alasan yang kukuh maka Allah memateri (menutup) pintu hatinya”. (Imam Malik,jld:1,hlm:334, no.hadis:227).

Dalam riwayat yang lain Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: “Barang siapa meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tiga dengan sengaja kerana malas menunaikannya lalu Allah akan menutup pintu hatinya.” (al-Tirmizi, jld:3, hlm:327, no.hadis:460, Ibn Majah, jld:3, hlm:440, no.hadis: 1115).

Berdasarkan kepada nas-nas di atas jelas bahawa Allah memfardukan solat Jumaat ke atas setiap mukalaf supaya menunaikannya. Meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang sebab adalah berdosa besar. Sekiranya seseorang itu meninggalkannya dengan sengaja kerana malas maka dihukum sebagai fasik. Sekiranya dia mengingkari kefarduan Jumaat yang sudah dimaklumi umum maka dia dihukum terkeluar daripada Islam.

Wallahu'alam